Berita Terkini Public Mutual

Rabu

Renungan - Cabaran Kehidupan

Hidup ini memang penuh cabarannya. Kerana cabaran itu jugalah kita belajar sesuatu yang berharga dan mula menghargai apa yang ada di sekeliling kita. Kesihatan sebenarnya satu anugerah yang tidak ternilai daripada Allah. Tetapi kesibukan dan kelekaan membuatkan kita terlupa akan aset berharga ini.

     Awal tahun ini, saya terkedu apabila diberitahu tentang ketumbuhan (cyst) pada rahim saya. Pembedahan adalah antara cara untuk mengeluarkannya. Selepas pembedahan pula risiko untuk cyst ini tumbuh semula sangat tinggi. Di benak saya terbayang pelbagai perkara: kanser, kos pembedahan dan apa kesannya pada hidup saya nanti. Pening seketika. 

    Nasib baik kesedaran saya pada keperluan insuran ada. Jadi kos pembedahan bukanlah suatu bebanan yang perlu difikirkan sangat. Sekali lagi saya bersyukur atas kesedaran yang Allah timbulkan. Menurut doktor, penyakit ini masih menjadi misteri: bagaimana berlaku dan penawarnya. Maknanya tiada ubat yang dapat menghalang pembiakannya. Saya hanya pasrah.

     Namun pengajarannya, saya belajar menjaga kesihatan diri. Bukannya saya tidak peduli langsung kesihatan diri saya sebelum ini. Tetapi apa yang saya amalkan masih belum cukup baik untuk kesihatan diri. Saya buang jauh-jauh gaya hidup stress. Saya mahu menikmati hidup dengan lebih baik. Selebihnya, saya menganggap ini adalah antara amaran daripada Allah bahawa usia kita semakin hampir ke penghujungnya. Syukur kerana saya antara yang bertuah menerima amaran ini.